Kebenaran Hakiki.......

Wednesday, September 01, 2004

Warkah Kedua - 16 Rejab 1425 Hijriyyah

Dakwah: La ilaha illallah
Bismillahir rahmanir rahiem,
Sahabat,
Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan, "Tuhan kami Allah" kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka sambil mengatakan, "Jangan kamu takut dan jangan kamu sedih dan bergembiralah kamu dengan syurga yang telah dijanjikan Allah kepadamu."
"Kami adalah pelindung-pelindungmu dalam kehidupan dunia dan akhirat; di dalamnya kamu memperoleh apa yang kamu inginkan dan memperoleh pula di dalamnya apa yang kamu minta, sebagai hidangan bagimu dari Tuhan Yang Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang.
"Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal soleh dan dia berkata,
‘Sesungguhnya aku dari kelompok Muslimin.’
Dan tidaklah sama antara kebaikan dan kejahatan. Tolaklah kejahatan itu dengan cara yang lebih baik, sehingga orang-orang yang memusuhimu akan menjadi teman yang sangat setia [1]. Allah mengetahui segalanya dan Dia telah menyampaikan apa saja yang seharusnya diketahui para da’i. Subhanallah.
Catatan kaki:[1] QS 41:31-34
Nasehat Untuk Anak-Anakku:
Bismillahir rahmanir rahiem,
Anakku,
Seringlah mengingati maut, karena dia pasti akan datang kepada kita. Bila kamu ingat akan maut, maka coba fikirkan tentang keadaan yang akan kamu hadapi nanti. Dan apa yang kamu fikirkan niscaya akan berkesan dan nampak pada amal perbuatanmu.
Apabila fikiranmu baik, amalmu menjadi baik. Bila fikiranmu baik, maka yang keluar dari mulut dan yang masuk melalui mata dan telingamu tentu hanya perkara yang baik. Bila tidak, maka kamu hanya akan menyusahkan dirimu sendiri dan menyusahkan orang lain saja.
Dan apabila kamu selalu bersiap sedia menghadapi maut, maka kedatangannya yang sering tiba-tiba, tidak akan membuatmu tersentak dan tidak akan membuatmu kebingungan. Subhanallah.
As-Sunnah Muhammad Rasulullah SAW:
Bismillahir rahmanir rahiem,
Sahabat,
Adalah Kitab Zend Avesta mengajarkan bahawa petunjuk Tuhan hanya diberikan kepada bangsa Parsi. Dan Kitab Weda diperuntukkan khusus bagi kasta yang tinggi [1]. Kong Hu Cu merangkum manusia dari Negeri China. Dan sebagaimana orang-orang suci lainnya, Buddha telah memberi khabar gembira akan kedatangan nabi yang ummi. Akan tetapi kebanyakan daripada mereka tidak memahaminya.
Nabi Hud [2], Nabi Soleh [3], Nabi Syuaib [4] dan Nabi Isa [5] adalah Utusan-Utusan Allah. Sebagaimana nabi-nabi lainnya, mereka diutus hanya kepada kaum mereka masing-masing. Mereka diperuntukkan kepada kaum-kaum yang Allah menyukainya agar mereka beriman dan berbakti kepadaNya lalu Dia memberi khabar gembira akan kedatangan nabi yang ummi.
Allah adalah sebaik-baik yang dapat menepati janji. Pada saatnya, Dia mengutus nabi yang ummi yang telah dijanjikanNya, Nabi Muhammad SAW. Melalui baginda, Allah berkehendak untuk merangkum seluruh manusia daripada segala bangsa dan dari segala jaman hingga hari kiamat [6]. Subhanallah.
Catatan kaki:
[1] Gotama Smarti: 12, Apabila Orang Sudra kebetulan mendengarkan Kitab Weda dibaca, maka adalah kewajiban raja untuk mengecor cor-coran timah dan malam dalam kupingnya; apabila seorang Sudra membaca mantra-mantra Weda, maka raja harus memotong lidahnya, dan apabila ia berusaha untuk membaca Weda, maka raja harus memotong badannya.
[2] QS 7:65, Dan (Kami telah mengutus) kepada Kaum Ad saudara mereka, Hud. Ia berkata, "Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada Tuhan bagimu selainNya. Maka mengapa kamu tidak bertakwa kepadaNya?"
[3] QS 7:73, Dan (Kami telah mengutus) kepada Kaum Tsamud saudara mereka, Soleh. Ia berkata, "Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada Tuhan bagimu selainNya. Sesungguhnya telah datang bukti yang nyata kepadamu dari Tuhanmu..."
[4] QS 7:85, Dan (Kami telah mengutus) kepada Penduduk Madyan saudara mereka, Syuaib. Ia berkata, "Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada Tuhan bagimu selainNya. Sesungguhnya telah datang kepadamu bukti yang nyata dari Tuhanmu..."
[5] Matius 15:24, Maka jawab Yesus, katanya, "Tidaklah aku disuruhkan kepada yang lain hanya kepada segala domba yang sesat di antara Bani Israil."
[6] QS 7:158, Katakanlah, "Hai manusia, sesungguhnya aku adalah Utusan Allah kepadamu semua, yaitu Allah yang mempunyai kerajaan langit dan bumi; tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia, Yang menghidupkan dan mematikan, maka berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, nabi yang ummi yang beriman kepada Allah dan kepada kalimat-kalimatNya (kitab-kitabNya) dan ikutilah dia, supaya kamu mendapat petunjuk."
Tazkeerah Mu'izah
Nabi Muhammad SAW Insan Fitrah
Nabi Muhammad SAW adalah seorang manusia fitrah yang sejak awal kejadian Baginda SAW sentiasa bergerak di atas landasan fitrah insan yang suci murni. Fitrah yang suci bersih lagi murni akan mencetuskan perjuangan dalam jiwa apabila insan itu dibaluti oleh suasana yang penuh dengan kemungkaran, kezaliman, penyembahan berhala dan benda-benda alam, perebutan kuasa, kegilaan kepada harta dan berbagai-bagai adat serta kebudayaan yang menyimpang jauh daripada sifat fitrah yang asli. Perjuangan dalam jiwa Nabi Muhammad SAW sampai ke kemuncaknya apabila Baginda SAW mencapai usia 36 tahun. Kejahilan, kesyirikan, kekafiran, kemungkaran dan kezaliman yang berleluasa di dalam masyarakat menjadi beban yang sangat berat menghimpit jiwa fitrah Baginda SAW. Tekanan tersebut menjadi lebih kuat lantaran segala kerosakan itu terjadi kepada orang-orang yang hampir dengan Baginda SAW, kaum keluarga dan masyarakat yang sama keturunan dengan Baginda SAW, sedangkan jalan untuk menyelamatkan mereka tidak terbuka. Jiwa fitrah yang sangat mengasihi sesama manusia sangat menginginkan keselamatan dan kesejahteraan kepada sekalian manusia. Jiwa yang seperti inilah yang selalu menderita apabila melihat kerosakan yang terjadi kepada orang lain.
Fitrah yang suci murni memiliki bakat yang istimewa iaitu kebolehan untuk mengenal dan mengerti tentang sesuatu yang benar dan juga memiliki keupayaan untuk bergerak kepada yang benar itu. Apabila mencapai usia 36 tahun Nabi Muhammad SAW diheret oleh fitrah suci baginda SAW ke Gua Hira', kira-kira 10 km ke Utara Makkah. Gua tersebut terletak di atas Gunung Hira', kira-kira 20 meter dari puncak gunung. Seorang lelaki yang kuat memerlukan masa kira-kira 40 minit untuk mendaki dari bawah hingga ke aras Gua Hira'. Laluan masuk ke dalam gua tersebut sangat sempit, di celah dua buah ketulan batu besar yang hampir-hampir bertaut. Seseorang yang ingin melaluinya perlu menyusup dengan bersusah payah. Setelah berjaya melepasi laluan yang sempit itu seseorang itu akan masuk ke dalam satu ruang kosong yang sempit juga. Ruangnya tidak memadai untuk seorang manusia tidur dengan selesa di dalamnya.
Gua tersebut disembunyikan oleh batu-batu besar, hampir-hampir tidak ada cahaya matahari yang masuk ke dalamnya. Batu-batu di sekitar gua itu berwarna hitam kemerah-merahan yang boleh menimbulkan rasa gerun dalam hati sesiapa yang menyaksikan pemandangan di sana. Bahagian yang terdapat Gua Hira' merupakan bahagian yang paling menggerunkan di antara semua bahagian Gunung Hira'.
Tarikan Fitrah telah membawa Nabi Muhammad SAW ke tempat yang tidak ada manusia mahu pergi, apa lagi tinggal beberapa hari di sana siang dan malam. Bulan Ramadhan merupakan tempoh yang paling Baginda SAW gemar berkhalwat di Gua Hira'. Baginda SAW berulang-alik ke Gua Hira' sehinggalah wahyu yang pertama turun ketika usia Baginda SAW menjangkau 40 tahun.
Suasana Gua Hira' menceritakan bahawa hanya insan yang berjiwa besar dan sangat berani serta bersemangat waja sahaja yang sanggup tinggal di sana seorang diri, siang dan malam dan berhari-hari lamanya. Hanya tawakal dan keyakinan yang teguh membuat seseorang mampu bertahan di dalam kegelapan Gua Hira', tidak dapat melihat binatang bisa seperti ular dan jengking yang mungkin muncul pada bila-bila masa sahaja. Insan yang boleh tinggal di sana pastilah di dalam jiwanya tidak ada sebesar zarah pun rasa takut kepada makhluk, kecintaan kepada dunia, harta benda, pangkat dan kemuliaan. Hanya jiwa Islam (berserah diri sepenuhnya kepada Allah SWT) yang sempurna dapat tinggal sendirian di dalam Gua Hira'. Tujuan, harapan dan pergantungan hanyalah Allah SWT, Tuhan Yang Maha Esa Lagi Maha Perkasa.
Semakin mendekati usia 40 tahun semakin kerap Nabi Muhammad SAW mengunjungi Gua Hira'. Apabila berada di luar gua, terutamanya pada waktu malam, Baginda SAW merenung bangunan alam maya, melihat kerapian susunannya dan keindahan gubahannya. Apabila berada di dalam gua Baginda SAW merasakan ketenangan, kedamaian dan kelazatan. Gua Hira' yang gelap-gelita dan sunyi-sepi memisahkan Baginda SAW daripada seluruh alam dan sekalian makhluk. Kegelapan membungkus jasad hinggakan pengaruh jasad tidak lagi menghijab hati nurani. Apabila terpisah daripada segala yang maujud, fitrah suci akan merdeka daripada segala sesuatu melainkan Allah SWT. Cahaya fitrah yang suci lagi murni memancar dengan terang- benderang menyuluh ke seluruh pelusuk alam maya menyaksikan dengan jelas apa yang tidak mampu dipandang dengan mata. Tiap sesuatu menjadi terang-benderang di dalam sinaran fitrah suci Nabi Muhammad SAW. Tidak ada satu zarah pun yang terlindung daripada pandangan matahati Baginda SAW. Semuanya jelas dan nyata... namun, masih ada satu yang tidak dapat disingkap oleh fitrah, walaupun seseorang itu manusia suci.
Fitrah mampu menyingkap rahsia kemanusiaan sehingga manusia boleh membentuk tatasusila kehidupan yang sesuai untuk dijalani oleh semua ummat manusia. Fitrah boleh membentuk sistem moral yang baik. Fitrah dapat menguruskan pentadbiran negara dan perdagangan. Fitrah dapat meneroka alam maya dan benda-benda alam. Tetapi apabila berhadapan dengan Pencipta manusia dan alam sekaliannya dan juga Pencipta fitrah itu sendiri maka fitrah hanya mampu berkata, “Allah!” dan masuk kepada penyerahan tanpa takwil.
Apa yang dilalui oleh Nabi Muhammad SAW di Gua Hira' pernah dialami juga oleh Nabi Ibrahim A.S, sebagaimana diceritakan dalam Al-Quran:
Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin. Maka ketika ia berada pada waktu malam yang gelap, ia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu ia berkata: “Inikah Tuhanku?” Kemudian apabila bintang itu terbenam, ia berkata pula: “Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang.” Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), ia berkata: “Inikah Tuhanku?” Maka setelah bulan itu terbenam berkatalah ia: “Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat”. Kemudian apabila ia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah ia: “Inikah Tuhanku? Ini lebih besar!” Setelah matahari terbenam, ia berkata pula: “Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya). Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyengutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)”.
( Ayat 75 – 79 : Surah al-An’aam )
Tafakur membawa Nabi Ibrahim A.S berhujah dengan fahaman-fahaman yang menjadikan benda-benda alam sebagai tuhan-tuhan. Tafakur dan hujah berakhir pada tahap: “Aku hadapkan wajahku kepada yang menciptakan semua langit dan bumi. Aku hadapkan dengan fitrah yang hanif. Aku tidak mempersekutukanNya dengan apa-apa pun”. Tahap terakhir ini Allah SWT bukakan kepada hamba-hambaNya yang Dia kehendaki. Hadapkan fitrah suci kepadaNya dengan penuh keikhlasan tanpa mengadakan sebarang takwil mengenaiNya dan tidak mengadakan sekutu bagiNya. Dia sendiri menentukan bila dan bagaimana Dia berkehendak mengadakan pembukaan kepada hambaNya.
Pada 17 Ramadhan, tahun 41 daripada umur Nabi Muhammad SAW, datanglah Malaikat Jibril A.S membawa wahyu yang pertama daripada Tuhan Azza wa Jalla, sebagai menyempurnakan lagi fitrah Nabi Muhammad SAW, menaikkan martabat fitrah insan kepada darjat fitrah Muslim, menjawab segala yang terkilan, menghuraikan segala yang kusut dan membukakan segala yang tertutup. Sempurnalah kesempurnaan Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hasyim dipersiapkan untuk menanggung mahkota seluruh alam, menjadi penutup sekalian nabi-nabi, menjadi penyelamat umat manusia dan dunia seluruhnya, menjadi rahmat kepada sekalian alam dan menjadi kekasih Allah!
Akhirul kalam...Mutiara Kata...ikhlas dariku...untuk diri yang serba lupa lagi hina dan buatmu ikhwan dan akhwat:
"Setiap kali ilmuku bertambah, akan bertambah pula keinsafan dalam diri... bahawasanya... terlalu banyak sebenarnya yang aku tidak tahu...mengenai hidup ini..."
Mudah-mudahan menjadi iktibar kepada kita semua...
Barakallahufikum...amin...
Allahu'alam...
Chiang Rai, Thailand.

Tuesday, August 31, 2004

Warkah Pertama - 15 Rejab 1425 Hijriyyah

Pengantar Dakwah Ilallah:
Bismillahir rahmanir rahiem,
Sahabat,
Kita bersyukur kepada Allah atas segala kurniaNya dan memuji Allah dengan puji-pujian yang menyukakanNya, baik dengan memanjatkan langsung kepadaNya atau dengan menyampaikan kebesaran dan segala atributNya kepada sekalian manusia. Kita bersyukur kepada Allah yang telah memilih kita menjadi duta-dutaNya bagi manusia dan kita memuji Allah yang telah menjadikan kita orang-orang yang digunakanNya demi tersebarnya kebaikan-kebaikan di seluruh alam.
Sholawat serta salam semoga senantiasa tercurah kepada Nabi Muhammad SAW, Rasul Allah dan kekasihNya yang kepadanya kita berpedoman dengan sunnah-sunnahnya yang tidak pernah lekang oleh pergantian masa dan jaman. Da'i adalah sebutan yang paling berat bobotnya dan paling tinggi nilainya buat kita dalam upaya membantu Allah dan RasulNya. Kita memang bangga dengan gelaran ini, akan tetapi kita terus berusaha agar kita tidak menjadi sombong kerananya.
Sahabat,
Dakwah adalah sebutan bagi usaha kita dalam mengajak manusia kembali kepada Allah. Sungguh, Allah tidak akan memberi kita kerja ini, kecuali kerana Dia Maha Mengetahui bahawa kita adalah ummat yang paling layak untuk memikulnya hingga ke hari kiamat. Dakwah adalah kerja yang mudah. Ketidakmampuan sebahagian daripada kita dalam melakukannya adalah kerana kita masih belum memahami maksud dan tujuan daripada kerja ini, belum yakin dengan fadhilat-fadhilatnya dan belum tahu banyak perkara mengenai mereka yang telah berhasil dalam usaha dakwah. Sesungguhnya tidak ada sesuatu yang sulit melainkan kerana kita tidak tahu caranya. Untuk itulah tulisan-tulisan berikut ini didedikasikan kepada seluruh da’i dan calon da’i di mana saja berada, tidak peduli apakah mereka berasal dari Jamaah Tabligh, Ikhwanul Muslimin, Hizbut Tahrir, Salafy, Nahdhatul Ulama', Nahdhatul Wathon, Muhammadiyah, Jamiatul Islamiyah, Persatuan Ulama' Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia, Parti Islam Se-Malaysia persis atau apapun namanya selagi asasnya adalah kalimah agung..'la ilaha ilallah, muhammadur rasulullah'.
Sahabat,
Semoga dengannya setiap daripada kita dapat menemukan sendiri cara-cara sunnah Rasulullah SAW, memahaminya lalu mengaplikasikannya bagi kepentingan dakwah di lingkungan masing-masing. Setelah itu, baru kita berkelayakan untuk memohon kepada Dzat yang maha mengabulkan doa, Allah Yang Maha Agung. Semoga Dia berkenan dengan upaya kita hingga Dia sendiri menjadikan manusia kembali kepadaNya dan berpegang teguh kepada agama yang diredhoiNya. Sungguh, tidak ada daya dan upaya kecuali dengan Allah saja. Subhanallah.
Nasehat Untuk Anak-Anakku:
Bismillahir rahmanir rahiem,
Anak-anakku,
Apabila kamu selalu ingat akan akhirat maka hendaknya kamu lafazkan ungkapan mulia ini...'bismillahir rahmanir rahiem' sehingga ia benar-benar terpasak kukuh di dalam hati kecilmu.
Anak-anakku,
Apabila kamu selalu ingat akan akhirat maka hendaknya kamu bahagia. Apabila kamu ingat betapa singkatnya hidup di dunia ini, maka tidak ada satupun kesulitan hidup yang akan menyusahkanmu, sementara pada saat yang sama kamu redha sepenuhnya dengan pemberian Allah. Dan apabila kamu selalu ingat akan hari akhirat, maka hendaknya kamu tidak berfikir, berkata, dan berbuat kecuali untuk menyempurnakan bekal bagi hari itu. Ketahuilah, sesungguhnya Allah menghendaki akhirat bagi manusia, hanya saja kebanyakan daripada mereka tidak mengetahuinya. Subhanallah.
As-Sunnah Muhammad Rasulullah:
Bismillahir rahmanir rahiem,
Ikhwan dan akhwat,
Ketika penduduk bumi tersesat arah dan salah jalan, saat itu manusia menyembah apa-apa yang tidak memberinya manfaat dan tidak pula kuasa mendatangkan mudhorat baginya. Ketika penduduk bumi tersesat arah dan salah jalan, manusia menyerupakan Allah dengan makhluk, menyandangkan nama-namaNya kepada berhala-berhala dan menyandingkan tuhan-tuhan yang banyak sebagai tandingan-tandinganNya. Ketika penduduk bumi tersesat arah dan salah jalan, manusia sehat kehilangan akal warasnya. Manusia malu, tetapi tidak pada tempatnya. Manusia beradab, tapi tidak kepada perempuan.
Ikhwan dan akhwat,
Melalui Nabi Muhammad SAW, Allah SWT memandu mereka keluar dari kesesatan yang nyata. Melalui usaha baginda, Allah mengeluarkan mereka dari kejahilan. Dan melalui pengorbanan baginda juga, Allah menjadikan manusia tahu kepada siapa seharusnya mereka menyembah dan berbakti.
Ikhwan dan akhwat,
Semoga solawat serta salam dari Allah senantiasa tercurah kepada baginda, buah hati yang sentiasa dihati kita semua; Muhammad Al-Amin. Sungguh, ini adalah permintaan kita yang paling layak dimajukan kepadaNya. Subhanallah.
Tazkeerah Mu'izah
Nabi Muhammad SAW Diutuskan Untuk Menyelamatkan Ummat Manusia:
Keadaan dunia sebelum kelahiran Abi Zaharah SAW;
Dunia pada abad ke-enam Masehi adalah umpama seorang yang sedang sakit tenat, sangat memerlukan kepada penyelamat dan perawat yang mahir untuk mengubati penyakitnya dan menyelamatkannya daripada berbagai-bagai huru-hara dan kemusnahan. Semua bangsa di seluruh pelusuk dunia dicengkam oleh kegelapan akidah dan kehancuran moral. Bangsa Aria di Sepanyol dan di selatan Perancis terlibat di dalam perebutan kuasa dengan Kerajaan Clovis yang bermazhab Katholik. Bangsa Aria yang mendapat bantuan daripada Kerajaan Roman Timur berjaya menewaskan kerajaan Clovis. Setelah berjaya menewaskan kerajaan Clovis, Bangsa Aria berperang pula menentang Kerajaan Roman Timur yang telah membantu mereka, kerana berebut kuasa ke atas tanah jajahan. Di negeri Inggeris pula Bangsa Anglo dan Bangsa Saxon terlibat di dalam kes perebutan tanah juga. Di Itali, kekuasaan Kerajaan Roman sudah sangat lemah, lalu ia berpindah kepada kekuasaan gereja (Agama Masehi). Kerajaan Yunani pula sudah dijajah oleh Kerajaan Roman Timur.
Bangsa-bangsa yang kuat di Eropah sering menceroboh kedaulatan bangsa-bangsa yang lemah di Eropah Selatan. Bangsa Got dan Bangsa Han berlumba-lumba memperluaskan tanah jajahan. Di tengah-tengah Asia Kecil muncul Bangsa Turki yang berjaya menyekat perkembangan Kekuasaan Yunani. Mana-mana bahagian dunia yang dikuasai oleh Kerajaan Roman Timur mengalami kerosakan teruk akibat kekejaman perang dan kezaliman pemerintah. Bukan Kerajaan Roman Timur sahaja yang melakukan kerosakan di atas muka bumi, malahan sesiapa sahaja yang berjaya memperolehi kemenangan telah melakukan keganasan dan kerosakan, bahkan ada yang lebih ganas dan kejam daripada Kerajaan Roman Timur.
Bukan di Eropah sahaja bergolak. Tirai Sejarah Asia turut menceritakan betapa pergolakan juga berlaku di sini. Di Tibet, India dan China muncul fahaman-fahaman yang ganjil-ganjil dan kepercayaan mistik yang sukar difahami, baik dalam bidang keagamaan dan falsafah dan juga dalam bidang siasah. Perbedaan fahaman keagamaan, falsafah dan siasah sering menjadi isu yang menyebabkan persengketaan sesama sendiri. Keadaan diburukkan lagi oleh peperangan yang berlaku dengan orang luar.
Kerajaan Masehi Roman Timur yang berpusat di Konstantinopal terlibat di dalam kancah peperangan dengan Kerajaan Parsi. Kemenangan sering bertukar tangan di antara mereka. Selain Kerajaan Parsi, kerajaan lain yang lebih kecil dapat dikalahkan oleh Kerajaan Masehi Roman Timur. Akhirnya, sayap penindasan Kerajaan Masehi Roman Timur sampai juga ke Mesir.
Dunia pada ketika itu penuh dengan kebuasan, kezaliman dan pertumpahan darah. Ummat manusia lebih berminat melakukan kerosakan daripada berbuat kebaikan dan perdamaian. Pemimpin bukan lagi menjadi pelindung dan penyelamat rakyat, malahan merekalah yang lebih dahulu menindas rakyat yang mereka pimpin. Nyawa manusia menjadi tidak berharga asalkan nafsu buas pemimpin yang berkuasa mendapat kepuasan. Sikap belas kasihan kepada rakyat yang lemah sangat jarang ditemui di kalangan golongan yang berkuasa.
Pada ketika itu masih ada golongan yang berpegang kepada nilai-nilai murni yang diajarkan oleh agama tetapi mereka tidak ada kekuatan untuk melakukan perubahan atau menyekat kerosakan yang melanda dunia dan ummat manusia. Suara keagamaan tidak cukup lantang untuk sampai ke telinga orang-orang yang berkuasa. Di kebanyakan tempat pihak yang berkuasa mengadakan tekanan dan kongkongan terhadap ahli-ahli agama sehingga cahaya agama yang sebenar tertutup dan diperlihatkan cahaya agama yang telah diwarnai oleh pihak pemerintah. Seluruh pelusuk bumi sudah dicalarkan oleh kuku kuasa-kuasa besar, hanya satu tempat sahaja pada ketika itu yang masih selamat daripada kuku kerosakan penjajah. Tempat tersebut adalah Tanah Arab. Semenanjung Arab bukan diselamatkan oleh kekuatan dan kepintaran penduduknya tetapi ia diselamatkan oleh kekuatan alam semula jadi bumi bertuah itu. Lautan padang pasir dan gunung-ganang menjadi benteng pertahanan yang kuat menghalang percubaan kuasa besar untuk masuk ke dalamnya.
Ummat manusia sangat berhajat kepada penyelamat yang mampu mengadakan perubahan, membela nasib golongan yang lemah dan memperbaiki segala macam kerosakan yang telah melanda dunia. Seluruh dunia sudah berada di dalam keadaan huru-hara, hanya Bumi Arab yang masih bertahan. Bumi yang dipelihara itu menjadi tempat yang paling sesuai untuk dijadikan markas bagi penyelamat yang akan datang memulakan tugas demi ummat manusia seluruhnya.
Semenanjung Arab sebelum kelahiran Nabi SAW;
Walaupun sebahagian besar daripada Semenanjung Tanah Arab tidak berjaya dijajah oleh kuasa-kuasa besar. Namun, sebahagian daripadanya tidak terlepas daripada kuku penjajah. Bahrain dan Iraq dijajah oleh Kerajaan Parsi. Syria pula dijajah oleh Kerajaan Masehi Roman Timur. Arab Hijaz dan Arab Tengah agak bernasib baik, walaupun mereka ada persefahaman untuk tunduk kepada Kerajaan Parsi tetapi ia tidak dikuatkuasakan.
Di antara semua Penduduk Arab, Kaum Badwi yang tinggal di pergunungan dan padang pasir menjadi satu-satunya Puak Arab yang benar-benar bebas daripada mana-mana kuasa penjajah. Mereka jugalah kemudian hari kelak menjadi tenaga pejuang yang paling kuat di dalam menyebarkan Agama Islam ke seluruh pelusuk Bumi Arab dan juga lain-lain tempat di atas muka bumi.
Sebelum Islam muncul di Tanah Arab, Agama-Agama Masehi dan Yahudi dan juga agama menyembah berhala sudah pun bertapak di sana. Di antara mereka, penganut Agama Yahudilah yang paling fanatik dan agresif. Mereka bukan sekadar mahu menjajah untuk mendapatkan kuasa dan harta malah mereka sangat benci dan memusuhi sesiapa sahaja yang tidak seagama dengan mereka. Mereka menganggapkan kekuasaan ke atas bangsa-bangsa lain sebagai satu jihad yang mulia. Di dalam melakukan jihad tersebut mereka membolehkan diri mereka melakukan apa sahaja asalkan tujuan mereka tercapai. Diskriminasi agama yang berlaku di Tanah Arab biasanya ada kaitan dengan Penganut Agama Yahudi. Ketika berkuasa di Yaman, Orang-Orang Yahudi telah membakar 20,000 Penganut Agama Masehi yang enggan menerima Agama Yahudi. Pembunuhan beramai-ramai manusia yang tidak bersalah itu telah mencemarkan kemurniaan Agama Yahudi dan pencemaran tersebut diperturunkan kepada Generasi Yahudi yang di belakang.
Agama Masehi pula kurang mendapat tempat di hati Orang-Orang Arab. Agama yang telah diresapi oleh fahaman mistik yang pelik-pelik itu tidak menarik minat Orang-Orang Arab yang umumnya bersifat kebendaan. Walaupun ada sebilangan kecil Orang-Orang Arab yang menganuti Agama Masehi, namun agama tersebut tidak berjaya disebarkan dengan meluas.
Agama yang paling popular kepada Orang-Orang Arab adalah agama menyembah berhala. Mereka yang masih percaya kepada Tuhan Pencipta Langit dan Bumi tidak terlepas daripada perbuatan syirik iaitu mengadakan berhala-berhala sebagai perantaraan di antara mereka dengan Tuhan. Beberapa buah berhala besar dibina di beberapa tempat. Di samping mempertuhankan berhala-berhala besar, Suku dan Keluarga Arab mempunyai berhala-berhala kecil yang juga dipertuhankan.

Selain daripada penyembah berhala ada juga Suku-Suku Arab yang menyembah bulan dan bintang, seperti Suku-Suku Kinanah, Lakham, Jurhum, Asad dan Tayyi. Kebanyakan daripada Orang Arab tidak percaya kepada hari akhirat. Mereka beranggapan hidup ini berakhir dengan kematian. Oleh itu segala perkara mesti diselesaikan di dunia ini juga. Ada juga sebahagian daripada mereka yang percaya kematian bukan kesudahan kehidupan, terutamanya bagi orang yang mati dibunuh. Golongan ini percaya mangsa pembunuhan tidak dapat hidup aman pada alam lain sebelum dilakukan pembalasan terhadap pembunuhnya.
Ada juga segelintir Puak Arab yang percaya kepada malaikat. Mereka percaya malaikat berhubung dengan orang-orang suci di kalangan mereka. Mereka yang dianggap suci itu dijadikan perantaraan untuk berhubung dengan malaikat dan juga dengan tuhan. Selain daripada golongan tersebut ada juga puak yang percaya kepada dua tuhan iaitu Tuhan Kebaikan dan Tuhan Kejahatan. Tuhan Kebaikan menjadikan yang baik-baik sahaja dan Tuhan Kejahatan menjadikan yang jahat-jahat sahaja.
Puak yang paling mulia di Makkah iaitu Puak Quraisy menganut fahaman zindik, iaitu kepercayaan kepada cahaya dan gelap. Fahaman ini menolak kewujudan akhirat dan Tuhan. Fahaman yang demikian pada masa ini dipanggil ateis. Walaupun Puak Quraisy ini tidak percaya kepada Tuhan tetapi mereka menyembunyikan fahaman mereka dengan cara berpura-pura mempercayai Tuhan supaya mereka tidak terasing daripada Puak-Puak Arab yang lain yang percaya kepada kewujudan Tuhan. Fahaman seperti fahaman zindik ini juga dipegang oleh golongan bangsawan di Yathrib, dan mereka kemudiannya membentuk kumpulan munafiq yang menentang Rasulullah SAW secara sembunyi.
Agama Yahudi tidak dikembangkan kepada Orang-Orang Arab. Orang Yahudi beranggapan Bangsa Arab lebih hina daripada mereka dan tidak layak diterima sebagai penganut agama mereka. Agama Yahudi dijadikan agama yang khusus untuk bangsa mereka sahaja. Selain daripada sikap Orang Yahudi yang demikian, permusuhan dengan Kerajaan Masehi Roman Timur juga menyebabkan pergerakan Kaum Yahudi terhalang. Kerajaan Masehi Roman Timur berjaya mengalahkan Kerajaan Yahudi di Yaman dan mereka memperhebatkan gerakan memburu Orang-Orang Yahudi sebagai membalas dendam terhadap perbuatan Yahudi membakar Kaum Masehi di Yaman. Di mana sahaja dijumpai, Tentera Kerajaan Masehi Roman Timur akan membunuh Orang-Orang Yahudi. Orang-Orang Yahudi terpaksa melarikan diri ke seluruh pelusuk muka bumi. Sebahagian besar daripada mereka membuat tempat tinggal di Khaibar dan Yathrib. Mereka membina benteng yang kukuh di sekeliling perkampungan mereka. Mereka tidak berani keluar jauh daripada benteng pertahanan mereka. Oleh yang demikian mereka terpaksa menggunakan khidmat Orang-Orang Arab di dalam menguruskan perniagaan dan perladangan mereka. Jadi, tekanan daripada pihak Kerajaan Masehi Roman Timur dan keegoan mereka sendiri menyebabkan Agama Yahudi tidak berkembang di Semenanjung Arab.
Ada sebilangan kecil Puak Arab yang masih mengesakan Tuhan. Mereka terdiri daripada pemimpin Bani Hasyim yang menguasai pengurusan Kaabah. Mereka tetap melakukan ibadat haji, umrah, bertawaf mengelilingi Kaabah dan menyembelihkan binatang korban. Pegangan mereka bersumberkan ajaran Nabi Ibrahim A.S.
Secara umumnya, Orang-Orang Arab percaya kepada Tuhan yang menciptakan alam tetapi mereka beranggapan Tuhan terlalu tinggi dan mereka tidak mampu berhubung secara langsung dengan Tuhan. Mereka percaya ada benda-benda alam yang dikasihi oleh Tuhan. Mereka berpendapat perhubungan dengan Tuhan perlu dibuat melalui benda-benda yang Tuhan kasihi. Bagi memudahkan upacara perhubungan dan penyembahan, mereka membina patung-patung yang menyerupai sesuatu yang dianggap sebagai dikasihi oleh Tuhan. Mereka mengadakan penyembahan dan persembahan kepada patung-patung tersebut sebagai cara untuk menyampaikan hajat kepada Tuhan Yang Maha Tinggi.
Ummat manusia di seluruh Semenanjung Arab dan juga di seluruh pelusuk dunia dibungkus oleh kegelapan akidah dan dicengkam oleh keruntuhan moral. Ajaran nabi-nabi yang pernah diutuskan oleh Tuhan telah dipinda oleh orang-orang yang gila kuasa sehingga ketulenan ajaran tersebut tidak dapat dikenalpasti lagi. Apa juga ajaran agama yang tidak disenangi oleh pihak yang berkuasa akan diubahsuai. Bumi Parsi menyaksikan banyak agama-agama dihancurkan oleh pemerintah. Agama-agama Zoroaster, Manu dan Mazdak menemui kehancuran di Parsi.
Agama Masehi pula diputarbelitkan oleh Orang-Orang Masehi yang tunduk kepada pemerintahan Kerajaan Masehi Roman Timur. Agama Yahudi dirosakkan oleh Kaum Yahudi sendiri. Di tempat-tempat lain muncul agama falsafah yang direka oleh akal dan khayalan manusia sendiri. Kemusnahan akidah berlaku di merata tempat dan ia diikuti oleh kehancuran nilai-nilai akhlak yang murni. Banyak perkara yang diterima pakai sebagai adat dan kebudayaan telah merosakkan nilai-nilai murni kemanusiaan. Di dalam kebudayaan Orang Arab Jahiliah dan juga bangsa-bangsa lain, arak merupakan minuman kegemaran orang ramai. Darah ummat manusia yang bercampur dengan najis arak menjadi medan yang luas bagi syaitan melakukan kerosakan ke atas Bani Adam. Puisi dan syair yang memuji dan memuja arak sering diperdendangkan. Arak menjadi pintu kepada berbagai-bagai lagi perlakuan akhlak yang hina. Judi dan zina berleluasa di dalam masyarakat. Di dalam tradisi mereka juga kaum lelaki boleh berkahwin seberapa ramai yang mereka mahu asalkan mereka mampu. Kaum lelaki juga berhak menceraikan isteri mereka sesuka hati mereka. Kaum wanita menerima nasib yang lebih malang apabila mereka yang kematian suami dikira sebagai sebahagian daripada harta pusaka suami yang berhak dituntut oleh waris si suami. Tradisi yang demikian menyebabkan sistem kekeluargaan menjadi kucar kacir. Dan yang paling buruk berlaku di dalam Tradisi Arab Jahiliah adalah adat kejam menanam anak perempuan yang baharu lahir.
Kerosakan akidah dan akhlak yang menyerang penduduk di Tanah Arab tidak mampu dibendung oleh Orang-Orang Masehi dan Orang-Orang Yahudi. Orang-Orang Yahudi lebih berminat mengembangkan perniagaan mereka yang berasaskan riba. Perpecahan yang berlaku di kalangan Masyarakat Arab memudahkan Kaum Yahudi mengembangkan ekonomi mereka tanpa persaingan besar daripada Puak Arab.
Jika Kaum Yahudi sibuk mengumpul harta, Kaum Masehi pula tidak mempunyai kepimpinan yang berkaliber untuk mengadakan pembaikan ke atas ummat manusia. Ajaran mistik yang kompleks menyebabkan agama tersebut menjadi satu agama yang sukar difahami oleh orang ramai. Oleh kerana itu banyak daripada urusan agama dilakukan oleh pihak gereja sahaja. Orang ramai yang telah menyerahkan urusan agama mereka kepada pihak gereja sudah dianggap mendapat keselamatan.
Orang-Orang Arab secara umumnya mempunyai fikiran yang terbuka dalam banyak perkara tetapi mereka sangat fanatik dalam soal kepercayaan dan adat resam. Prinsip mereka dalam perkara tersebut adalah berpegang teguh dengan apa juga yang mereka pusakai daripada nenek moyang mereka. Pusaka nenek moyang yang menyentuh soal kepercayaan dan adat resam tidak boleh diganggu-gugat oleh sesiapapun.
Nabi Muhammad SAW dan Kaum Muslimin bertanggungjawab menyelamatkan Ummat Manusia dan dunia seluruhnya;
Di tengah-tengah kerosakan akidah dan akhlak yang melanda ummat manusia di Semenanjung Tanah Arab dan di seluruh dunia itulah Allah SWT mengutuskan RasulNya, Nabi Muhammad SAW. Pada masa Nabi Muhammad SAW dilahirkan, di dalam dunia ini ada tidak lebih daripada tiga puluh orang yang mengenal Allah SWT sebagaimana yang patut dikenali. Kenyataan ini diterima oleh Salman al-Farisi daripada pendeta terakhir yang beliau temui di Ammuria, dalam perjalanannya mencari kebenaran, sehinggalah beliau berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW di Madinah. Pertemuan dengan Nabi Muhammad SAW mengakhirkan pencarian Salman Al-Farisi. Dia telah menemui kebenaran.
Nabi Muhammad SAW berkewajipan membaiki seluruh dunia. Hanya satu agama yang lengkap dan sesuai dengan fitrah asli sekalian manusia yang mengimbangi soal lahiriah dengan soal batiniah mampu menanggani masalah berat yang sedang melanda dunia dan penghuninya. Agama tersebut adalah ISLAM! Baginda SAW diutuskan bagi menyampaikan risalah dari Allah SWT dan mentadbir urusan makhluk di dalam dunia ini agar peraturan Allah SWT dipatuhi oleh sekalian manusia. Kaum Muslimin yang menjadi Ummat Baginda SAW juga memikul amanah tersebut, bertanggungjawab menyambung perjuangan Baginda SAW. Tugas tersebut terletak di atas bahu Ummat Nabi Muhammad SAW hinggalah kepada hari kiamat. Jalan yang telah dipelopori oleh Nabi Muhammad SAW dan diikuti oleh sahabat-sahabat Baginda SAW adalah sebaik-baik dan sebenar-benar jalan. Jalan yang paling baik dan paling benar ini juga dilalui oleh para Pengikut Baginda SAW yang datang kemudian.
Dasar agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW adalah mengabdikan diri kepada Tuhan Yang Maha Esa dan mencari kesejahteraan hidup di akhirat tanpa melupakan tanggungjawab terhadap kehidupan dunia dan makhluk Tuhan sekaliannya. Tugas utama mereka adalah menyucikan akidah mereka sendiri, kaum keluarga dan ummat manusia sekaliannya. Tugas susulan yang tidak kurang penting adalah memurnikan akhlak diri sendiri, kaum keluarga dan ummat manusia sekaliannya. Akidah dan akhlak merupakan dua agenda paling penting di dalam tarekat Nabi Muhammad SAW yang juga diikuti oleh para sahabat Baginda SAW.
Chiang Rai, Thailand.

Monday, August 02, 2004

Warkah Ketiga - 17 Rejab 1425 Hijriyyah

Dakwah: La ilaha illallah
Bismillahir rahmanir rahiem,
Sahabat,
Diantara manfaat yakin kepada sifat-sifat Allah adalah bahawa kita akan termotivasi untuk berakhlak dan berperilaku dengan sandaran sifat-sifatNya yang Dia sendiri suka apabila hal itu ada pada kita. Lalu keinginan kita adalah menyempurnakan sifat-sifat kita sesuai dengan sifat-sifatNya.
Apabila kita menyebut asma' Allah secara berterusan, namun sifat-sifatNya belum lagi menghiasi diri kita dan belum pula wujud dalam perbuatan kita, maka sudah selayaknya kita malu kepada diri kita sendiri. Hal itu tidak layak terjadi pada para da’i Allah.
Dan ketika kita sebut-sebut Ar-Rahman [1] namun sifat pengasih belum lagi menghiasi akhlak kita, atau ketika kita ulang-ulang Ar-Rahim [2] namun sifat penyayang belum lagi wujud dalam diri kita, barangkali kita harus bertaubat dan memperbaharui syahadat kita.
Sesungguhnya apa saja yang ada didalam hati kita akan keluar sebagai manifestasinya dan apa yang tidak ada dalam hati tidak akan pernah dapat keluar walau dengan cara menumpahkannya sekalipun. Subhanallah.
Catatan kaki:
[1] QS 1:1 Ar-Rahmaan, Tuhan Yang Maha Pengasih
[2] QS 1:1 Ar-Rahiim, Tuhan Yang Maha Penyayang
Nasehat Untuk Anak-Anakku:
Bismillahir rahmanir rahiem,
Anakku,
Hidup di dunia ini permainan belaka. Bila sampai waktunya, maka kita akan kembali kepada hidup yang sebenarnya.
Kamu sering melihat bagaimana adikmu bermain pondok. Kamu lihat bagaimana dia memainkan bonekanya seolah-olah manusia yang berkata dan bertindak. Lihat juga bagaimana dia ambil dedaunan dan meramunya seolah-olah makanannya.
Akan tetapi, apabila dia lapar, dia malah datang dan meminta makan pada ibu. Adikmu memahami bahawa apa yang dilakukannya dan apa yang dibuatnya itu hanyalah permainan belaka.
Maka apabila kamu susah di dunia ini, yakini segera bahawa kesusahan itu sementara saja. Apabila kamu senang di dunia ini, maka kesenangan itupun akan berakhir pada saat yang telah ditentukan oleh Allah. Saat itu kamu pasti akan kembali kepadaNya. Subhanallah.
Mencari Ilahi
Kulihat sepotong cahaya
berwarna putih di dada langit
memancar kilauan berpinar
mengusik sebak hati nan insaf
dan lara yang menghantuk benak
bebola api hadir di celahan gunung-ganang
membawa sinar cerah ke dada alam
Nabi Ibrahim pernah terpana menyaksikan
cahaya mentari itu dalam sangkanya yang menguji selirat akidah
Bebilah cahaya yang menerjah
melakarkan selingkar fatamorgana
dalam mencari ketenangan jiwa
sambil terpukau dirasuk rasa ronta
keindahan alam ciptaan Maha Esa
Kala itu terungkai keonaran diri
dalam sujud mencari sinar Ilahi
dari ketulan-ketulan akidah hakiki
yang menggunung di hirisan ubudiyah
menyeret ikhlas terhadap keagungan Ilahi
Kolej Islam Darul - Ulum, Kuala Nerang, Pokok Sena, Kedah.